Universiti Malaysia Pahang (UMP) membangunkan sebuah bangunan pejabat untuk tenaga pengajar universiti itu dengan menggunakan susunan kontena terpakai setinggi tiga tingkat di tengah-tengah universiti di Gambang, di Kuantan. - Foto Bernama
KUANTAN - Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan
kerjasama syarikat Portland Group of Companies berjaya membina sebuah bangunan
menggunakan kontena terpakai yang merupakan projek pertama seumpamanya di
negara ini.
Uniknya bangunan setinggi tiga tingkat yang
mempunyai 72 bilik dan terletak di kawasan UMP itu turut menggunakan bahan
binaan lain dihasilkan daripada sisa buangan industri.
Dekan Fakulti Kejuruteraan Kimia dan dan Sumber
Asli, Profesor Datuk Dr Rosli Mohd Yunus berkata, usaha untuk membina bangunan
dengan menggunakan kontena itu dimulakan setahun yang lepas.
"Di luar negara seperti Jerman dan Belanda,
membina bangunan dengan menggunakan kontena bukanlah suatu perkara asing, malah
mereka membina bangunan sehingga setinggi 12 tingkat.
"Namun ia merupakan satu perkara baharu di
negara ini dan lazimnya kita lihat, kontena terpakai ini hanya digunakan untuk
pejabat sementara di tapak-tapak pembinaan, sedangkan sebenarnya ia boleh
digunakan untuk membina bangunan bagi kegunaan kediaman mahupun pejabat,"
katanya kepada Bernama di sini.
Bertitik tolak daripada idea itu, satu pasukan
kerja telah dibentuk antara penyelidik UMP dan kakitangan Portland untuk
memikirkan konsep yang paling sesuai digunakan bagi pembinaan bangunan ‘hijau’
ini yang menggunakan bahan kitar semula hasil penyelidikan UMP secara maksimum,
kata Dr Rosli.
Antara produk hijau yang digunakan dalam pembinaan
bangunan itu ialah G-Brick dan wood plastic composite (WPC).
G-Brick merupakan batu-bata ‘hijau’ yang
dihasilkan dengan formulasi menggabungkan bahan terbuang, red gypsum, daripda
industri penghasilan serbuk putih titanium dioksida.
Produk batu bata itu mempunyai warna asli yang
menarik serta sesuai digunakan bagi projek pembinaan kerana ia telah melepasi
ujian spesifikasi yang ditetapkan bagi bahan binaan.
Selain itu juga ia telah mendapat sijil kelulusan
ujian tahan api selama 130 minit dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia,
katanya.
Bangunan yang telah siap 98 peratus dan bakal dijadikan
sebagai bilik pensyarah itu turut kelihatan modern dan kontemporari dengan
penggunaan kepingan WPC.
Dr Rosli berkata WPC yang kelihatan seperti
kepingan kayu itu sebenarnya dihasilkan dengan menggunakan ramuan 70 peratus
serbuk kayu dan polyethylene, sejenis plastik ringan yang kuat.
"Kami turut menggunakan cat khas yang mampu
mengurangkan haba yang dihasilkan oleh kontena, contohnya jika suhu di luar 35
darjah celcius, maka suhu di dalam kontena adalah 25 darjah celcius tanpa
menggunakan pendingin hawa atau kipas," katanya.
Menurutnya penggunaan kontena sebagai bahan utama
untuk membina bangunan juga mampu menjimatkan kos dan masa lebih 30 peratus
daripada bangunan biasa kerana tidak memerlukan kerja menanam cerucuk bangunan.
Beliau juga menjangkakan teknologi hijau ini dapat
mencetus satu pembaharuan dan alternatif dalam sektor pembinaan negara selain
mampu mengurangkan pencemaran. - Bernama
No comments:
Post a Comment