Monday, 26 December 2016

Teknologi Hijau Merupakan Alternatif Untuk Mengurangkan Kesan Rumah Hijau

SEJARAH dunia beberapa tahun kebelakangan ini telah mencatatkan satu perkembangan yang pelik. Pelik dengan bahang panas melampau di Amerika Syarikat dan Eropah tetapi keadaan sebaliknya di negara panas, Afrika Selatan yang dilitupi salji. Tidak ketinggalan beberapa siri taufan yang semakin kerap dan ganas, termasuk berstatus taufan raksasa menggegarkan China ketika banjir terus menelan korbannya dari Pakistan, Habsyah, Korea sehinggalah ke India

Keadaan cuaca tidak menentu itu menyaksikan beratus-ratus kematian dalam sekelip mata manakala lebih sejuta lain hilang tempat tinggal. Nilai kerugian akibat kehilangan jiwa dan kemusnahan harta benda mencecah berbilion dolar. Inilah senario terkini keadaan cuaca dunia yang lebih banyak pelik daripada kebiasaannya. Catatan rekod daripada panas dan sejuk melampau selain rentetan satu demi satu taufan ganas yang seakan-akan tidak memberi ruang bagi negara mangsa untuk bernafas.

Keadaan diburukkan lagi dengan ancaman gempa bumi kian kerap dengan catatan skala Richter lebih daripada sederhana sehingga menyebabkan amaran ombak besar atau tsunami yang amat asing bagi rantau Asia Pasifik, kini berlaku hampir setiap bulan. Pendek kata, bukan saja perkembangan politik dunia diselubungi pelbagai kekacauan, tetapi rekod alam sekitar juga tidak terkecuali kelam-kabutnya sebagaimana yang ketara di beberapa buah negara.

Namun, antara contoh ketara adalah membabitkan kejutan perbezaan cuaca ketara benua Eropah dan Amerika dengan Afrika. Apa tidaknya, Eropah dan Amerika yang lebih diketahui menikmati cuaca sejuk sebaliknya diselubungi panas melampau dengan paparan rakyatnya kepanasan terpampang di kebanyakan media utama dunia baru-baru ini. Keadaan sebaliknya berlaku di bahagian selatan dua benua itu apabila Afrika Selatan yang sudah sinonim dengan cuaca panas, menyaksikan kehadiran salji buat kali pertama sejak 1981.

Ramai kalangan saintis mengaitkan keadaan pelik itu sebagai kesan pemanasan global - satu keadaan yang dijangka berlarutan akibat pencemaran gas rumah hijau hasil pembakaran bahan fosil yang terperangkap dalam atmosfera. Biarpun sukar membuktikannya, seperti diakui Asher Timms, pegawai Pusat Penyelidikan Perubahan Cuaca Tyndall di Britain, corak cuaca bumi kini berubah. Akibatnya paras air laut semakin meningkat yang berkait rapat dengan salji yang semakin berkurangan atau cair di kebanyakan kawasan pergunungan serta bungkah ais Greenland yang mencair. Ini menyebabkan air laut semakin panas dan menyebabkan taufan makin ganas berlaku dengan kerap.

Malah antara bukti taufan yang mengganas adalah di China yang menyaksikan kemusnahan akibat serangan tiga taufan dalam tempoh sebulan. Dimulai taufan Bilis, Prapiroon dan terbaru taufan raksasa Saomai dengan angin selaju 216 kilometer sejam. Serangan taufan itu menyaksikan banjir dan tanah runtuh yang menyebabkan hampir 1,000 orang terbunuh termasuk 600 akibat taufan Bilis saja. Keadaan banjir itu turut meragut nyawa di pojok lain dunia seperti di Korea Utara, India dan di Habsyah. Malah di Habsyah selain 254 kematian, seramai 250 orang masih hilang sehingga hari ini.

Sebagaimana yang kita semua sedia maklum, istilah pemanasan global atau global warming dikaitkan dengan kenaikan suhu dunia. Dunia dikatakan semakin hari semakin panas. Kenaikan elemen suhu di seluruh dunia ini berkait rapat dengan aktiviti manusia yang mengganggu keseimbangan sistem-sistem bumi khususnya sistem atmosfera. Daripada sudut imbangan haba, fenomena pemanasan global memberi makna wujudnya ketidakseimbangan dalam bajet haba. Input haba yang diterima oleh sistem bumi berlebihan berbanding dengan outputnya.

Oleh sebab itulah berlakunya kenaikan suhu pada semua skala sama ada mikro atau makro. Menurut Professor James G Titus dari Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat: ‘Terdapat peningkatan suhu dunia antara 0.4 hingga 0.5 darjah celcius pada setiap lima tahun bermula pada tahun 1952. Dianggarkan antara tahun 1990 hingga 2025 suhu dunia akan meningkat antara 0.8 hingga 3.6 darjah celcius.’

Pemanasan global terjadi melalui dua mekanisme penting iaitu melalui Kesan Rumah Hijau dan juga Penipisan Lapisan Ozon. Walaupun terdapat punca-punca semulajadi tetapi aktiviti manusia lebih banyak menyumbang terhadap kedua-dua mekanisme di atas. Antaranya ialah aktiviti perindustrian, penyahutanan untuk pelbagai tujuan, pembebasan cloroflorokarbon (CFC), punca kenderaan, pembakaran terbuka dan yang paling dashyat adalah melalui ujian nuklear. Kesan rumah hijau banyak disumbangkan oleh gas karbon dioksida.

Lantaran itu penekanan terhadap ‘teknologi hijau’ adalah altenatif yang tepat dalam menangani masalah kesan rumah hijau tersebut. Ia juga selaras dengan agenda utama kerajaan di seluruh dunia pada masa kini yang memberi keutamaan kepada isu-isu alam sekitar khususnya fenomena perubahan cuaca dunia. Kita sebagai penduduk dunia perlu bertanggungjawab untuk bersama-sama memainkan peranan dalam menjadikan dunia ini a better place to live in.

Sebagaimana yang kita tahu, teknologi hijau adalah aplikasi sains alam sekitar untuk memulihara sumber dan alam semulajadi bagi menangani impak negatif akitiviti manusia seperti pengeluaran asap hitam yang membahayakan oleh kilang, penggunaan bahan bakar kenderaan bermotor, pemusnahan alam semulajadi, pencemaran sungai, pelepasan karbon ke udara dan sebagainya. Teknologi hijau adalah teknologi rendah karbon dan lebih mesra alam berbanding teknologi sedia ada.

Teknologi hijau merujuk kepada produk, peralatan, atau sistem yang mampu meminimumkan degrasi kualiti persekitaran; ia mempunyai pembebasan Gas Rumah Hijau (GHG) yang rendah atau sifar; ia selamat untuk digunakan dan menyediakan persekitaran sihat dan lebih baik untuk semua hidupan; menjimatkan tenaga dan sumber asli; dan menggalakkan sumber-sumber yang boleh diperbaharui. Terdapat empat tonggak Dasar Teknologi Hijau Negara iaitu:
  1. Tenaga - mencari ketidakbergantungan tenaga dan mempromosikan kecekapan tenaga
  2. Alam sekitar - memulihara dan meminimumkan kesan kepada alam sekitar
  3. Ekonomi - meningkatkan pembangunan ekonomi negara melalui penggunaan teknologi; dan
  4. Sosial - meningkatkan kualiti hidup untuk semua.
Aplikasi Teknologi Hijau adalah selaras dengan konsep pembangunan mapan (sustainable development) di mana pembangunan yang dilaksanakan perlu memenuhi keperluan semasa tanpa menjejaskan keperluan generasi masa depan. Apabila kita menggunakan teknologi hijau, kita menggunakan sumber-sumber seperti tenaga, air, dan sebagainya secara minimum untuk menghasilkan sesuatu produk. Produk itu akan selamat digunakan dan menyediakan persekitaran yang sihat dan lebih baik untuk semua hidupan. Ia juga menjimatkan tenaga dan sumber asli serta menggalakkan sumber-sumber yang boleh diperbaharui. Objektifnya termasuklah mengurangkan kadar penggunaan tenaga dalam masa yang sama meningkatkan pembangunan ekonomi.

Selain itu, teknologi hijau juga memastikan pembangunan mapan dan memulihara alam sekitar untuk generasi akan datang serta meningkatkan pendidikan dan kesedaran awam terhadap teknologi hijau dan meluaskan teknologi hijau tersebut. Teknologi hijau juga mampu mengurangkan pelepasan gas karbon ke udara yang menyebabkan fenomena perubahan cuaca dunia.

Antara kesan-kesan fenomena perubahan cuaca dunia yang kita rasai ialah cuaca yang melampau seperti keadaan cuaca panas yang sedang kita hadapi kini. Selain itu, kejadian bencana alam seperti ribut taufan, kecairan ais di Kutub Utara dan Selatan, kenaikan paras dan suhu air laut, kepupusan spesies flora dan fauna dan sebagainya juga merupakan kesan-kesan fenomena perubahan cuaca dunia yang prominen pada masa sekarang. Oleh yang demikian, mitigasi fenomena perubahan cuaca dunia telah menjadi antara prioriti dalam masyarakat dunia pada masa kini.

Sebagaimana yang kita sedia maklum bahawa Dasar Teknologi Hijau Negara yang telah dilancarkan berasaskan kepada empat tonggak iaitu tenaga, alam sekitar, ekonomi dan sosial. Dari aspek tenaga, teknologi hijau akan mencari kaedah untuk mengurangkan penggunaan tenaga dan pada masa yang sama mempromosikan kecekapan guna tenaga. Dari aspek alam sekitar, kesan kepada alam sekitar dapat diminimumkan dan dipelihara. Dari aspek ekonomi, teknologi hijau meningkatkan pembangunan ekonomi negara. Manakala dari segi sosial pula, kualiti hidup rakyat dapat dipertingkatkan.

Sesungguhnya, proses perubahan cuaca global sememangnya tidak dapat dihalang. Walau bagaimanapun, usaha-usaha boleh dilakukan untuk melambatkan proses tersebut. Lantaran itu, aplikasi teknologi hijau merupakan salah satu alternatif bagi melambatkan proses perubahan cuaca dunia. Kita sebagai pengguna merupakan salah satu daripada penyumbang terbesar dalam pelepasan gas rumah hijau melalui aktiviti harian. Antara contoh aktiviti harian kita yang banyak menyumbang ke arah perubahan cuaca global ialah penggunaan kereta, tenaga elektrik, penggunaan bahan-bahan kimia seperti racun serangga dan sebagainya.

Hakikatnya, bumi ini sudah tidak lagi mampu menanggung beban penggunaan kurang mapan dan pembaziran dilakukan oleh manusia. Tenaga berperanan penting dalam semua aktiviti. Sumber tenaga di negara kita dibahagikan kepada 2 jenis iaitu sumber tenaga konvensional (tidak boleh diperbaharui) dan tidak konvensional (boleh diperbaharui). Sumber tenaga konvensional yang terbesar di Malaysia adalah petroleum dan jenis sumber ini akan semakin berkurangan serta habis jika digunakan secara berterusan. Contoh sumber tenaga bukan konvensional yang tidak terhad digunakan ialah biojisim dan solar.

Ketika Revolusi Perindustrian yang bermula di Britain sejak abad ke-18 hinggalah hari ini, tenaga yang menggerakkan pembangunan dan pertumbuhan dunia ialah bahan api fosil yang terdiri daripada minyak, gas dan arang yang merupakan sumber tenaga konvensional. Bahan api fosil banyak membantu dalam pembangunan tetapi ramai orang tidak sedar akan kesan penggunaan bahan fosil terhadap bumi ini. Penggunaan bahan bakar fosil yang semakin meningkat telah berperanan besar dalam fenomena pemanasan global dengan melepaskan karbon dioksida (CO2) ke udara bebas dan seterusnya mempengaruhi perubahan iklim dunia. Untuk mengurangkan bilangan manusia yang hanya memikirkan keuntungannya tanpa melindungi bumi, pemimpin dunia telah memperkenalkan pemakaian tenaga alternatif yang menggantikan bahan bakar fosil yang membahayakan.

Terdapat pelbagai bahan boleh dijadikan alternatif bagi mengurangkan penggunaan bahan bakar fosil seperti tenaga solar (matahari), tenaga air, tenaga angin, hidrogen, dan biojisim kelapa sawit. Malaysia merupakan negara yang beriklim panas dan lembap sepanjang tahun. Kita boleh memanfaatkan cahaya matahari pada waktu siang sebagai sumber tenaga untuk menggantikan tenaga elektrik. Walaupun kos untuk sistem solar tinggi dan sesetengah kawasan tidak mendapat cahaya matahari untuk jangka masa yang panjang kerana keadaan cuaca tidak menentu, tetapi kebaikannya tidak boleh diabaikan juga. Tenaga matahari dapat mengurangkan pencemaran udara dan kesan rumah kaca serta tenaganya boleh disimpan untuk penggunaan elektrik pada waktu malam. Tenaga ini boleh dimanfaatkan untuk tiang lampu yang banyak di negara kita.

Tenaga hidro berasal daripada air yang mengalir mengandungi tenaga yang boleh diubah menjadi tenaga elektrik. Tenaga hidro menampung keperluan pertanian. Tanah bumi Malaysia yang kaya dengan flora dan fauna telah menjadikan negara kita sebagai kawasan yang mempunyai bekalan air yang berterusan. Hampir 90% daripada sumber tenaga yang diperbaharui datang daripada kuasa hidro. Empangan telah digunakan sebagai sebuah stesen janakuasa hidro untuk menakung air sungai. Tenaga ini adalah percuma. Air juga boleh disimpan di dalam empangan dan sedia digunakan pada masa yang diperlukan serta tidak ada sisa buangan yang menyumbang kepada pencemaran. Tenaga ini juga lebih diyakini berbanding dengan tenaga angin, matahari dan gelombang.

Hidrogen juga merupakan bahan gantian untuk bahan bakar fosil. Hidrogen boleh digunakan sebagai sejenis bahan api yang menggerakkan kenderaan. Hidrogen dibakar dalam enjin melalui kaedah yang serupa dengan kereta petrol tradisional. Dalam penukaran sel bahan api, hidrogen bertindak balas dengan oksigen untuk menghasilkan air dan elektrik untuk menjana motor tarikan elektrik. Kenderaan yang menggunakan hidrogen sebagai bahan bakar dapat mengurangkan penggunaan gas rumah tanaman dan perosak lapisan ozon. Tetapi untuk mendapatkan bahan ini adalah sukar kerana hidrogen diperoleh melalui kaedah termokimia yang menggunakan gas asli, arang, gas petroleum cecair, biojisim, melalui proses termolisis atau dihasilkan dari air melalui elektrolisis. Oleh itu, hidrogen dikenali sebagai kaedah yang paling kurang cekap dan paling mahal untuk mengurangkan gas rumah hijau.

Biofuel juga merupakan bahan bakar alternatif untuk bahan bakar fosil yang dihasilkan dari bahan-bahan organik. Biofuel boleh dihasilkan secara langsung dari tanaman atau limbah industri, komersial, domestik, atau pertanian. Ada tiga cara untuk menghasilkan boifuel iaitu limbah organik kering (buangan rumah tangga), fermentasi limbah basah (kotoran haiwan) atau fermentasi tebu atau jagung dan tenaga dari hutan. Biofuel menghasilkan karbon dioksida yang jauh lebih sedikit daripada bahan bakar fosil yang mencemarkan udara. Biofuel boleh terurai dan sumber bahan buatan biofuel adalah terjamin serta mampu mengelakkan daripada rumah kaca.

Dalam mengaplikasi teknologi hijau, faedah terbesar ialah dari segi peningkatan kualiti hidup rakyat dengan jaminan kualiti alam sekitar yang lebih mapan. Pencemaran udara, air, bunyi dan sebagainya akan menjejaskan kualiti hidup rakyat sekiranya masalah tersebut dibiarkan berterusan. Apabila kita menggunakan teknologi hijau, kesan negatif terhadap alam sekitar adalah minima.

Kita harus mengamalkan amalan hijau sebanyak yang boleh, bermula dengan perkara-perkara mudah yang boleh kita laksanakan. Contohnya, kita boleh membawa air minum dalam bekas tanpa keperluan membeli botol-botol air. Kalau kita membeli makanan untuk dibawa balik ke rumah, eloklah kita menggunakan bekas makanan sendiri daripada menggunakan bekas styrofoam atau plastik yang tidak mesra alam. Bawalah beg sendiri ketika membeli-belah.

Kita sebagai pengguna juga harus mengutamakan pembelian peralatan elektrik jenis cekap tenaga. Utamakan penggunaan lampu cekap tenaga. Tindakan sedemikian akan menghasilkan penjimatan tenaga. Walaupun harga peralatan cekap tenaga lebih mahal sedikit berbanding peralatan biasa, namun penjimatan tenaga adalah banyak dan kurang menjejaskan alam sekitar. Yang penting adalah supaya kita mulakan dengan langkah-langkah yang mudah dan murah dahulu. Jadikan amalan hijau budaya hidup kita. Ibubapa harus menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak supaya mereka akan turut terdorong untuk mengamalkan budaya hijau.

Sebenarnya perubahan gaya hidup dan perubahan minda akan mengorak langkah ke arah penghayatan dan pengamalan teknologi hijau. Perubahan kecil yang kita buat pada hari ini akan memberi kesan yang besar pada masa hadapan. Yang penting, kita sebagai penduduk dunia perlu bertanggungjawab untuk bersama-sama memainkan peranan dalam menjadikan dunia ini a better place to live in. Dalam mengaplikasi teknologi hijau, faedah terbesar ialah dari segi peningkatan kualiti hidup rakyat dengan menjamin kualiti alam sekitar yang lebih mapan. Pencemaran udara, air, bunyi dan sebagainya akan menjejaskan kualiti hidup rakyat sekiranya masalah tersebut dibiarkan berterusan. Apabila kita menggunakan teknologi hijau, kesan negatif terhadap alam sekitar adalah minima.Teknologi hijau juga mempunyai potensi besar dalam memacu pembangunan negara. Industri yang menggunakan atau membangunkan produk berhubung teknologi hijau dapat menyediakan peluang-peluang pekerjaan untuk masyarakat tempatan. Kita boleh juga meneroka peluang mengeksport produk ‘hijau’ yang telah kita hasilkan. Pasaran untuk teknologi dan produk hijau amat besar, khususnya dalam sektor tenaga boleh diperbaharu atau renewable energy. Contohnya, industri solar photovoltaic telah dikenalpasti sebagai sumber pertumbuhan ekonomi baru untuk negara kita.

Sebagai kesimpulannya, penekanan terhadap ‘teknologi hijau’ adalah altenatif yang tepat dalam menangani masalah kesan rumah hijau. Satu sistem pengurusan sumber yang berkesan perlu dilaksanakan bagi menjamin bekalan dan penggunaan yang berterusan bagi kegunaan manusia pada masa hadapan. Untuk mengelak daripada bumi kita dilanda masalah pemanasan global, pemakaian tenaga alternatif adalah amat digalakkan. Sesungguhnya, teknologi hijau akan dapat membantu dalam memuliharakan alam sekitar dan meningkatkan kualiti hidup makhluk sejagat. Sama-samalah kita merealisasikannya.

Taman menegak bantu kurangkan 'pulau haba bandar'

Konsep taman menegak perlu diperbanyakkan di kawasan bandar yang kurang kawasan hijau, kata Prof Dr Osman. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Taman menegak atau menanam pokok bunga yang disusun menegak di luar bangunan, mampu mengurangkan fenomena pulau haba bandar (urban heat island - UHI) akibat cuaca panas.

Justeru, semua bangunan tinggi harus memiliki taman menegak, kata Presiden Institut Landskap Arkitek Malaysia (ILAM), Prof Madya Dr Osman Mohd Tahir.

Beliau berkata pembinaan bangunan pencakar langit mengurangkan kawasan hijau yang berupaya menyerap gas karbon dioksida dan menyederhanakan suhu.

"Bangunan pencakar langit yang dibina rapat antara satu sama lain menyebabkan kekurangan ruang untuk pengaliran udara, ditambah pula dengan penebangan pokok-pokok akibat pembangunan.

"Oleh itu, bangunan haruslah memanfaatkan ruang yang ada untuk mewujudkan sudut yang ditanam dengan tumbuhan hijau dan sekiranya mempunyai ruang terhad, cara yang sesuai adalah melalui taman menegak," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Banyak bangunan di bandar menerapkan konsep taman menegak untuk mengimbangi suhu. - Gambar hiasan

Kurang kawasan hijau

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kekurangan kawasan hijau akibat pembangunan pesat menyebabkan ibu kota berstatus pulau haba bandar, seperti yang dilaporkan sebuah media tempatan pada Isnin lepas.

Dr Osman, yang juga Dekan Fakulti Reka Bentuk dan Seni Bina Universiti Putra Malaysia berkata terdapat tiga konsep taman menegak atau penghijauan pada dinding luar yang boleh diterapkan pada bangunan tinggi iaitu fasad bangunan, lantai tingkat-tingkat tertentu di atas bangunan, dan ruang awam dalam bangunan.

"Jenis tanaman taman menegak ini adalah jenis yang tidak terlalu besar, dengan perakaran yang mampu tumbuh dengan baik pada ruang terhad, tahan terhadap hembusan angin, tidak memerlukan banyak air dan mampu menyerap bahan pencemaran seperti debu dan karbon dioksida," terangnya.

Katanya setiap bangunan tinggi 15 tingkat ke atas harus mewujudkan satu taman atas bumbung ataupun taman di satu daripada tingkatnya bagi 'menghidupkan' keseimbangan ekologi dan penghuninya.

"Contohnya di negara maju seperti Britain, Jepun, Jerman dan Amerika Syarikat, teknologi laman di bumbung sudah dipraktikkan lebih 10 tahun lalu yang bukan saja dapat menghijaukan persekitaran malah menyejukkan kawasan sekitar dan mengurangkan penggunaan tenaga," katanya.

Arkitek masa kini yang peka terhadap isu alam sekitar dan pemanasan global perlu menitikberatkan konsep ini pada binaan bangunan. - Gambar hiasan

Seimbangkan ekosistem

Tambahnya selain memanfaatkan ruang bangunan untuk penanaman tumbuhan hijau, setiap bandar dan kawasan kediaman harus mewujudkan taman rekreasi yang ditanam dengan pelbagai jenis pokok dan tumbuhan yang dapat menyeimbangkan ekosistem.

"Contohnya taman KLCC, ia sebagai kawasan rekreasi warga kota untuk menenangkan fikiran dan beriadah di samping berfungsi sebagai pengimbang haba dan menurunkan suhu bandar menerusi tumbuh-tumbuhan hijau yang ada di sekitarnya.

"Tidak semestinya hanya bergantung kepada hutan simpan untuk menyeimbangkan ekosistem semata-mata, kewujudan taman di tengah-tengah kota juga turut boleh berfungsi sama seperti hutan simpan," katanya.

Dr Osman berkata dari sudut kitaran ekologi, hubungan manusia dan tumbuh-tumbuhan amat erat serta saling bergantungan untuk keseimbangan dan kesinambungan ekosistem alam.

"Pengurangan kawasan keras dan bertambahnya kawasan hijau telah sedikit sebanyak mengurangkan sinaran semula haba dari matahari di samping menambahkan bekalan oksigen untuk pernafasan," katanya.

SWM perkenal sistem baharu kutip sampah



MELAKA 6 Sept - SWM Enviroment Sdn. Bhd. (SWM) negeri memperkenalkan pelaksanaan sistem baharu bagi kutipan sisa pepejal dengan menggunakan kaedah 2+1 secara berperingkat bermula 1 September lalu.
Pengurusnya, Hisham Husin berkata, sistem kutipan baharu itu menggantikan sistem lama yang mana sisa domestik dikutip tiga kali sehari dan mula diimplementasi di kawasan tadbiran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ).
Menurutnya, kaedah baharu 2+1 itu digunakan bagi kutipan sisa isi rumah dan organik yang dilakukan mengikut kekerapan dua kali seminggu manakala kutipan sisa yang boleh dikitar semula, sisa pukal dan sisa kebun akan dilaksanakan sekali seminggu.
"Penduduk dinasihat supaya melaksanakan pengasingan sampah sisa makanan, kitar semula dan sisa kebun bagi memastikan kutipan sampah dapat dilaksanakan dengan lancar dan mengikut jadual ditetapkan.
"Sisa makanan hendaklah dimasukkan ke dalam beg plastik sampah, diikat kemas dan dibuang ke dalam tong sampah beroda SWM dan diletakkan di hadapan rumah ketika hari kutipan sisa berjadual, begitu juga dengan sisa yang boleh dikitar semula, kebun dan pukal.
"Tong sampah yang diberikan secara percuma itu mestilah digunakan untuk mengelakkan kegagalan kutipan sisa domestik oleh pihak operasi," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas sesi taklimat Sistem Baharu Kutipan Sisa Pepejal di pejabat SWM negeri, Cheng di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) negeri, Ir. Zainuddin Abdul Samad berkata, pengasingan sampah ini perlu dilaksanakan sejajar dengan saranan kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara maju.
Menurutnya, sistem baharu yang dilaksanakan itu selaras dengan hasrat kerajaan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan dan pengurusan sisa pepejal, pembersihan awam yang sistematik, efisien serta seragam di seluruh negara.
"Dalam usaha kami untuk mewujudkan sistem penyampaian yang berkesan bagi pungutan sampah, kini telah wujud elemen baharu yang penting untuk menguruskan bahan buangan dikitar semula.
"Pelaksanaan sistem 2+1 ini telah mengubah landskap kutipan sisa pepejal di negara kita yang mana sistem kutipan dirangka untuk meningkatkan kadar kitar semula," katanya.
Zainuddin berkata, sistem baharu kutipan itu juga mengurangkan tekanan pusat pelupusan sampah, di samping mewujudkan sikap bertanggungjawab dalam kalangan rakyat di negara ini.
Tambahnya, sistem yang dilaksanakan itu melibatkan kediaman sesebuah dan rumah bertingkat di negeri ini iaitu 274 taman dengan 49,842 rumah di kawasan MBMB dan 151 taman di MPHTJ (35,562 rumah).

SWM laksana inisiatif pengasingan sisa


MELAKA 27 Jun – Syarikat konsesi SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM) melaksanakan pelbagai inisiatif dalam mewujudkan kesedaran dan peringatan kepada isi rumah bagi pelaksanakan pengasingan sisa yang berkuat kuasa 1 September ini.
Pengurus Besar Kumpulan SWM, Adnan Ibrahim berkata, usaha itu giat dijalankan bagi mendidik masyarakat supaya dapat menyesuaikan diri dengan perubahan berkenaan khususnya melibatkan isi rumah di Zon Selatan di bawah seliaan SWM.
Menurutnya, hanya berbaki tiga bulan lagi sebelum kerajaan melaksanakan pengasingan sisa di punca secara mandatori, setiap ahli rumah harus tahu cara yang betul bagi memastikan bahan buangan domestik dapat dilupuskan secara sistematik dan efisen.
“Proses pengasingan sisa di punca membabitkan pengasingan sisa pe­pejal isi rumah mengikut komposisi sisa iaitu plastik, kertas, logam, sisa pukal dan sisa kebun dimasukkan dalam beg plastik berasingan dan diikat serta diletakkan di tepi tong sampah beroda pada hari kutipan.
“Orang ramai juga diwajibkan mengasingkan sampah-sampah ini dalam tiga beg plastik berlainan warna selain mengasingkan bahan-bahan yang boleh dikitar semula,” katanya demikian selepas taklimat pengasingan sisa dan program berbuka puasa bersama media di Kota Laksamana, di sini semalam.
Yang turut hadir Pengurus SWM negeri, Dr. Al’Ashari Othman.
Adnan berkata, penduduk yang berdegil akan diberi notis peringatan oleh pihak penguat kuasa dan sekiranya masih berulang melebih dua hingga tiga kali mereka boleh dikenakan denda sehingga RM1,000.
Menurutnya, SW Corp sebagai pelaksana undang-undang akan memeriksa tong-tong di kawasan perumahan untuk memastikan bahan-bahan kitar semula tidak dimasukkan ke dalam tong khas untuk sampah-sampah basah.
“Hebahan dan edaran risalah di setiap rumah juga diberi tentang cara-cara pengasingan sampah yang mudah selain menyediakan papan tanda pemberitahuan hari kutipan bagi rujukan orang ramai mengikut hari yang telah ditetapkan.
“Kita juga meminta orang ramai memberi kerjasama sepenuhnya untuk menjayakan usaha ini demi mewujudkan persekitaran yang bersih dan sihat untuk semua.
Katanya, pelaksanaan peraturan baharu itu digubal mengikut klausa perundangan dalam Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 selaras dengan usaha­nya bagi memastikan kelestarian alam terus terpelihara.
“Pengasingan sisa pepejal ini akan dikuatkuasakan sepenuh­nya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis dan Kedah,” katanya.
Tambahnya, pada masa kini sebanyak 33,000 tan metrik sampah yang dihasilkan setiap hari di negara ini dan menerusi pelaksanaan amalan mandatori pengasingan sampah itu diharap dapat mengurangkan sampah-sampah di tapak pelupusan iaitu sebanyak 20 peratus menjelang tahun 2020.

HARI TANPA BEG PLASTIK

Hari Tanpa Beg Plastik adalah satu kempen yang telah dimulakan oleh kerajaan Selangor bermula awal tahun ini dan perlaksanaannya mula dapat dilihat. Kempen Hari Tanpa Beg Plastik yang bertujuan menyemai semangat sayangkan bumi ini mampu dijadikan sebagai tabiat harian dan bukan sahaja untuk hari Sabtu bagi penduduk di Selangor.

Kempen ini memberi impak kepada alam sekitar bukan sahaja untuk masa sekarang, malah untuk masa depan buat anak cucu kita. Kalau kita ke  Speed Mart 99 atau mana-mana, walaupun hari itu bukan hari Sabtu, satu notis di kaunter pembayaran mengenai kempen ini. Di sini  kita boleh lihat betapa kerajaan sedar dan peka terhadap permasalahan ini dan mula mengambil tindakan sewajarnya.


Hari Tanpa Beg Plastik untuk setakat ini hanyalah disertai dan disokong oleh organisasi-organisasi dan pasaraya-pasaraya besar seperti Giant, Tesco, SpeedMart, 7-Eleven dan sebagainya.

Lebih kurang 500 billion ke 1 trilion beg plastik digunakan serata dunia. Ini bermaksud lebih dari sejuta beg plastik dalam seminit. Dan berbilion-billion beg ini akan menjadi sampah.
Apakah yang membimbangkan tentang plastik? Plastik merupakan bahan yang diperbuat dan sebuah sumber yang amat berharga - minyak. Lebih banyak plastik kita gunakan hari ini, berkuranglah bekalan minyak kita pada masa hadapan.
Sewaktu beg plastik dihasilkan, satu bahan karsinogen, benzen, dihasilkan. Beg plastik tidak dapat lupus dari muka bumi. Kalau pun kita mengurangkan penggunaan beg-beg plastik dan sekarang, masih terdapat banyak lagi beg plastik yang sudah sedia terkumpul.
Beg plastik sukar dihapuskan. Sekiranya dibakar, ia membebaskan karsinogen, satu bahan penyebab kanser. Sekiranya ditanam, bahan toksin di dalamnya boleh memasuki sumber air minum kita. Binatang yang menyangka beg plastik makanan boleh mati apabila makan beg plastik tersebut. Selain itu beg plastik juga menyebabkan, berlaku peresapan air yang  menyebabkan banjir, dan merosakkan  kesuburan tanah.
Beg plastik tergolong “barang sekali pakai” sehingga memperbanyak sampah. Kalau kita belanja bulanan di pusat membeli-belah, sekali belanja kita akan memakai paling tidak 4 beg plastik dalam berbagai ukuran. Jakarta menghasilkan sekitar 6 000 ton sampah setiap hari, yang lebih dari setengahnya adalah sampah non-organik terutama plastik dan kertas.
Dari segi ekonomi, mengitar semula beg plastik tidak mendatangkan untung, kos mengitar semula satu tan beg plastik adalah $4000 dan hasilnya hanya boleh mendapat $32 dalam pasaran komoditi.
Untuk menghasilkan beg  plastik, setiap tahun diperlukan 12 juta barrel minyak ditambah lagi sekarang terjadi krisis minyak yang mengakibatkan melambung nya harga BBM.
Pengurangan beg plastik akan mengurangkan pergantungan terhadap minyak dari negara asing. 
Jika kita menggunakan beg yang boleh digunakan semula, sebaknya 6 beg plastik dapat dijimatkan.
Jika hanya 1 daripada 5 orang di Malaysia mengamalkan tabiat ini, kita dapat mengurangkan sebanyak 110,822,400,000 beg sepanjang umur.
Beberapa buah negara telah mengharamkan penggunaan beg plastik. Contohnya negara China  telah mengharamkan pemberian beg plastik percuma. Ekoran daripada itu, negara China akan menjimatkan 37 juta tong minyak.
Sumber Maklumat:  Kerajaan Negeri Selangor

Friday, 23 December 2016

UMP bina bangunan guna bahan terpakai.

Universiti Malaysia Pahang (UMP) membangunkan sebuah bangunan pejabat untuk tenaga pengajar universiti itu dengan menggunakan susunan kontena terpakai setinggi tiga tingkat di tengah-tengah universiti di Gambang, di Kuantan. - Foto Bernama

KUANTAN - Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan kerjasama syarikat Portland Group of Companies berjaya membina sebuah bangunan menggunakan kontena terpakai yang merupakan projek pertama seumpamanya di negara ini.

Uniknya bangunan setinggi tiga tingkat yang mempunyai 72 bilik dan terletak di kawasan UMP itu turut menggunakan bahan binaan lain dihasilkan daripada sisa buangan industri.

Dekan Fakulti Kejuruteraan Kimia dan dan Sumber Asli, Profesor Datuk Dr Rosli Mohd Yunus berkata, usaha untuk membina bangunan dengan menggunakan kontena itu dimulakan setahun yang lepas.

"Di luar negara seperti Jerman dan Belanda, membina bangunan dengan menggunakan kontena bukanlah suatu perkara asing, malah mereka membina bangunan sehingga setinggi 12 tingkat.

"Namun ia merupakan satu perkara baharu di negara ini dan lazimnya kita lihat, kontena terpakai ini hanya digunakan untuk pejabat sementara di tapak-tapak pembinaan, sedangkan sebenarnya ia boleh digunakan untuk membina bangunan bagi kegunaan kediaman mahupun pejabat," katanya kepada Bernama di sini.

Bertitik tolak daripada idea itu, satu pasukan kerja telah dibentuk antara penyelidik UMP dan kakitangan Portland untuk memikirkan konsep yang paling sesuai digunakan bagi pembinaan bangunan ‘hijau’ ini yang menggunakan bahan kitar semula hasil penyelidikan UMP secara maksimum, kata Dr Rosli.

Antara produk hijau yang digunakan dalam pembinaan bangunan itu ialah G-Brick dan wood plastic composite (WPC).

G-Brick merupakan batu-bata ‘hijau’ yang dihasilkan dengan formulasi menggabungkan bahan terbuang, red gypsum, daripda industri penghasilan serbuk putih titanium dioksida.

Produk batu bata itu mempunyai warna asli yang menarik serta sesuai digunakan bagi projek pembinaan kerana ia telah melepasi ujian spesifikasi yang ditetapkan bagi bahan binaan.

Selain itu juga ia telah mendapat sijil kelulusan ujian tahan api selama 130 minit dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, katanya.

Bangunan yang telah siap 98 peratus dan bakal dijadikan sebagai bilik pensyarah itu turut kelihatan modern dan kontemporari dengan penggunaan kepingan WPC.

Dr Rosli berkata WPC yang kelihatan seperti kepingan kayu itu sebenarnya dihasilkan dengan menggunakan ramuan 70 peratus serbuk kayu dan polyethylene, sejenis plastik ringan yang kuat.

"Kami turut menggunakan cat khas yang mampu mengurangkan haba yang dihasilkan oleh kontena, contohnya jika suhu di luar 35 darjah celcius, maka suhu di dalam kontena adalah 25 darjah celcius tanpa menggunakan pendingin hawa atau kipas," katanya.

Menurutnya penggunaan kontena sebagai bahan utama untuk membina bangunan juga mampu menjimatkan kos dan masa lebih 30 peratus daripada bangunan biasa kerana tidak memerlukan kerja menanam cerucuk bangunan.

Beliau juga menjangkakan teknologi hijau ini dapat mencetus satu pembaharuan dan alternatif dalam sektor pembinaan negara selain mampu mengurangkan pencemaran. - Bernama

Teknologi hijau tingkat kualiti hidup, pacu ekonomi negara.

BANGUNAN Teknologi Hijau Universiti Malaysia Pahang, Gambang yang menggunakan kontena terpakai menempatkan bilik pensyarah. - Foto Halim Mat Ali

Apabila sesebuah negara semakin pesat membangun, populasinya semakin meningkat. Ini menyebabkan kadar permintaan terhadap sesuatu keperluan adalah tinggi. Gaya hidup manusia yang mahukan kehidupan lebih baik seperti rumah, bekalan elektrik dan air, kereta dan lain-lain menyebabkan permintaan terhadap sumber semula jadi semakin meningkat.

Pengurusan sumber semula jadi yang tidak terancang seperti pembalakan tidak terkawal, penerokaan tanah secara berleluasa, pelepasan gas karbon dioksida ke atmosfera, pembuangan sisa pepejal dan sebagainya menyebabkan pencemaran. Jika pengurusan sumber semula jadi ini tidak diuruskan dengan baik, ia turut menjejaskan kualiti hidup manusia dan alam sekitar.

Justeru, masyarakat dunia kini menghadapi dua cabaran utama, iaitu isu perubahan iklim dan keselamatan tenaga. Kedua-dua isu ini harus ditangani secara kolektif dan efektif. Satu pendekatan yang kritis amatlah penting.

Berdasarkan keperluan ini, teknologi hijau menjadi portfolio Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, (KeTHHA) yang ditubuhkan pada 9 April 2009. Teknologi hijau mempunyai peranan strategik yang lebih jauh daripada setakat mencapai autonomi tenaga dan menangani perubahan cuaca.

Teknologi hijau turut membantu pembangunan masyarakat berilmu yang mendorong ke arah mempraktikkan tenaga lestari dan cara hidup lebih baik. Kita boleh hidup lebih lestari jika kita menjadi seorang yang lebih celik alam sekitar, belajar daripada alam semula jadi, hidup dengan lebih sederhana dan menjadi rakyat yang aktif dalam membangunkan alam sekitar.

Teknologi hijau adalah pembangunan dan aplikasi produk, peralatan serta sistem untuk memulihara alam sekitar dan sumber semula jadi, dan meminimumkan kesan negatif daripada aktiviti manusia.

Teknologi hijau merujuk produk, peralatan atau sistem yang memenuhi kriteria seperti meminimumkan degradasi kualiti persekitaran, mempunyai pembebasan gas rumah hijau yang rendah atau sifar, selamat untuk digunakan dan menyediakan persekitaran sihat dan lebih baik untuk semua hidupan, menjimatkan tenaga dan sumber asli dan menggalakkan sumber yang boleh diperbaharui.

Ia adalah teknologi rendah karbon dan lebih mesra alam berbanding dengan teknologi sedia ada. Apabila kita menggunakan teknologi hijau, kita menggunakan sumber-sumber seperti tenaga, air dan sebagainya secara minimum untuk menghasilkan sesuatu produk.

Dasar Teknologi Hijau

Dasar Teknologi Hijau Negara (DTHN) dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Julai 2009 dan menekankan aspek pemacuan pertumbuhan ekonomi negara dan pembangunan mapan. Pembangunan mapan hendaklah memenuhi keperluan masyarakat masa kini tanpa mengabaikan keperluan generasi akan datang.

Ia adalah berasaskan empat tunggak iaitu tenaga, alam sekitar, ekonomi dan sosial. Dari aspek tenaga, teknologi hijau mencari kaedah untuk mengurangkan penggunaan tenaga dan pada masa sama mempromosikan kecekapan guna tenaga. Dari aspek alam sekitar, kesan kepada alam sekitar dapat diminimumkan dan dipelihara.

Dari aspek ekonomi, teknologi hijau meningkatkan pembangunan ekonomi negara melalui penggunaan teknologi. Dari segi sosial pula, kualiti hidup rakyat dapat dipertingkatkan.

Seperti kita semua sedia maklum, pemanasan global dikaitkan dengan kenaikan suhu dunia. Dunia dikatakan semakin hari semakin panas. Kenaikan elemen suhu di seluruh dunia ini berkait rapat dengan aktiviti manusia yang mengganggu keseimbangan sistem bumi khususnya sistem atmosfera.

Fenomena pemanasan global

Dari sudut imbangan haba, fenomena pemanasan global memberi makna wujudnya ketidakseimbangan dalam bajet haba. Input haba diterima oleh sistem bumi berlebihan berbanding outputnya. Justeru, kenaikan suhu pada semua skala sama ada mikro atau makro.

Mengikut Profesor James G Titus dari Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat: 'Terdapat peningkatan suhu dunia antara 0.4 hingga 0.5 darjah Celsius pada setiap lima tahun bermula pada tahun 1952. Dianggarkan antara tahun 1990 hingga 2025 suhu dunia akan meningkat antara 0.8 hingga 3.6 darjah Celsius.'

Pemanasan global terjadi melalui dua mekanisme penting iaitu melalui kesan rumah hijau dan juga penipisan lapisan ozon. Walaupun terdapat punca semulajadi, tetapi aktiviti manusia lebih banyak menyumbang terhadap kedua-dua mekanisme di atas. Kesan rumah hijau banyak disumbangkan oleh gas karbon dioksida.

Lantaran itu penekanan terhadap 'teknologi hijau' adalah alternatif tepat dalam menangani masalah kesan rumah hijau ini selaras dengan agenda utama kerajaan seluruh dunia pada masa kini yang memberi keutamaan kepada isu alam sekitar khususnya fenomena perubahan cuaca.

Kita sebagai penduduk dunia perlu bertanggungjawab untuk bersama-sama memainkan peranan dalam menjadikan dunia ini tempat yang lebih baik.

Seperti yang kita tahu, teknologi hijau adalah aplikasi sains alam sekitar untuk memulihara sumber dan alam semula jadi bagi menangani impak negatif aktiviti manusia seperti pengeluaran asap hitam yang membahayakan oleh kilang, penggunaan bahan bakar kenderaan bermotor, pemusnahan alam semula jadi, pencemaran sungai, pelepasan karbon ke udara dan sebagainya. Teknologi hijau adalah teknologi rendah karbon dan lebih mesra alam berbanding teknologi sedia ada.

Untuk menggalakkan pembangunan aktiviti teknologi hijau, kerajaan telah menyediakan insentif berikut:

1) Dalam Bajet 2010 memperuntukkan RM1.5 billion sebagai pinjaman mudah kepada pengeluar serta pengguna Teknologi Hijau di seluruh Negara melalui Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS); 

2) Pemilik bangunan yang memperoleh sijil Indeks Bangunan Hijau (GBI) mulai 24 Oktober 2009 hingga 31 Disember 2014 diberi pengecualian cukai pendapatan bersamaan perbelanjaan modal tambahan bagi memperoleh sijil berkenaan;

3) Pembeli rumah yang memperoleh sijil GBI daripada pemaju hartanah diberi pengecualian duti setem ke atas surat cara pindah milik; dan 

4) Jumlah pengecualian adalah bersamaan dengan kos tambahan bagi memperoleh sijil berkenaan. Pengecualian ini adalah layak bagi pembeli yang menyempurnakan perjanjian jual beli mulai 24 Oktober 2009 hingga 31 Disember 2014.

Langkah kerajaan memajukan teknologi hijau

Usaha ini juga sejajar dengan keputusan mewujudkan dana berjumlah RM1.5 bilion dalam memajukan pembekalan dan penggunaan teknologi hijau. Melalui dana ini, syarikat pengeluar dan pengguna teknologi hijau dapat membuat pinjaman untuk membiayai aktiviti yang menyokong pertumbuhan industri teknologi hijau. Pinjaman maksimum untuk syarikat pengeluar sehingga RM50 juta dan syarikat pengguna sehingga RM10 juta membuktikan bahawa kerajaan benar-benar komited memajukan industri ini.

Kerajaan turut menanggung dua peratus daripada jumlah kadar faedah pinjaman tersebut dengan nisbah jaminan 60 peratus dan institusi perbankan 40 peratus. Permohonan pinjaman pula boleh dibuat melalui Pusat Teknologi Hijau Negara. Skim ini yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2010 memberikan faedah kepada lebih daripada 140 syarikat.

Beberapa langkah diambil memperkukuh struktur pelaksanaan dan pembangunan teknologi hijau serta mengantarabangsakan potensi penggunaannya. 

Misalnya, dalam Bajet 2010 kerajaan menstrukturkan semula Pusat Tenaga Malaysia menjadi Pusat Teknologi Hijau Negara. Pusat ini bertanggungjawab sepenuhnya dalam menyediakan pelan tindakan pembangunan teknologi hijau dan berperanan sebagai agensi yang menetapkan piawaian dan mempromosi teknologi hijau.

Strategi mewujudkan persekitaran kondusif bagi pembangunan teknologi hijau juga penting. Strategi ini pastinya tidak berjaya dilaksanakan tanpa instrumen ekonomi yang inovatif. Strategi ini juga sukar dilaksanakan tanpa sebarang dana untuk menggalakkan usaha merancakkan promosi terutama untuk menarik pelaburan langsung asing dalam industri teknologi hijau dan merangsang pelaburan langsung domestik industri tempatan. 

Strategi mewujudkan persekitaran kondusif ini penting dalam usaha menjadikan Malaysia pangkalan teknologi hijau serantau khususnya bagi tenaga yang boleh diperbaharui seperti teknologi solar fotovoltanik. Begitu juga galakan fiskal dan peruntukan bajet diperlukan untuk melaksanakan program latihan dan pendidikan bagi merangsang pembangunan modal insan dalam industri teknologi hijau. 

Selain itu, dana juga diperlukan bagi menyediakan bantuan kewangan dan insentif untuk menggalakkan pelajar di institusi pengajian tinggi memilih bidang pengajian yang berkaitan dengan teknologi hijau.

Kejayaan DTHN turut dipengaruhi ketelusan dan kecekapan pentadbiran dan pengurusan pelaksanaan. Sehubungan itu, strategi membabitkan langkah memperkukuh rangka kerja pada peringkat institusi seperti kementerian, agensi, sektor swasta, dan pihak yang berkepentingan. 

Untuk menjayakan strategi ini, kerajaan menubuhkan Majlis Teknologi Hijau yang bertujuan memastikan penyelarasan pada peringkat tertinggi bagi mengimplementasikan dasar yang cekap. Majlis ini dipengerusikan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri secara bergilir-gilir. Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air pula memainkan peranan utama menyelaras dan mempermudah peranan semua pihak berkepentingan demi kejayaan pelaksanaan teknologi hijau.

 Aplikasi Teknologi Hijau adalah selaras dengan konsep pembangunan mapan yang mana pembangunan dilaksanakan perlu memenuhi keperluan semasa tanpa menjejaskan keperluan generasi masa depan. Sehubungan itu, kita bertanggungjawab memastikan generasi akan datang dapat sekurang-kurangnya menikmati kualiti kehidupan yang kita peroleh sekarang atau kualiti lebih baik dari sekarang.

Sumber: Berita Harian